Friday, March 24, 2017

Ulasan: CHAPAKIYA Suraiya, 2014, Asas Linguistik, Kuala Lumpur, PTS Akademia

Makalah yang ditulis oleh anak jati Fatani ini mempunyai objektif yang jelas iaitu memberi pendedahan serba ringkas kepada orang awam tentang linguistik. Sememangnya, untuk memadatkan segunung ilmu dalam beberapa helaian merupakan satu cabaran yang besar. (Hal ini kerana jurusan linguistik, selain mempunyai sejarah yang bermula dari tanah asing (kontinen Eropah dan Amerika Syarikat khususnya), berkembang pesat di sana terutamanya selepas penerimaan ramai teori Ferdinand de Saussure [rujuk Cours de Linguistique Générale].)

Pertama-tama sekali, syabas kerana telah melangkaui cabaran tersebut. "Beraneka" pengetahuan yang mampu dicedok dari telaga emas ini, antaranya di dalam tajuk terakhir isu semasa bahasa Melayu di mana politik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dihangatkan kembali, tetapi kali ini dari perspektif komuniti linguistik.

Menghuraikan 5 khususan jurusan utama linguistik: fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik merupakan satu kewajipan bagi mana-mana ahli linguistik. Namun, pemilihan sosiolinguistik dan psikolinguistik iaitu pengkhususan yang lebih terjurus ke linguistik gunaan mengandaikan bahawa teras jurusan linguistik tidak mampu berdiri sendiri sebagai satu mata pelajaran khusus. Lantas merentangi jauh daripada objektif naskhah ini. Begitu juga halnya dengan penghuraian isu semasa bahasa Melayu serta teknik pengajaran di prasekolah.

Walau bagaimanapun, tajuk wacana mempunyai kerelevanannya ; analisis wacana merupakan subjurusan linguistik di dalam bahagian "ungkapan(?)" atau parole [rujuk Cours de Linguistique Générale] manakala 5 khususan jurusan utama berada di dalam bahagian "bahasa" atau langue [rujuk Cours de Linguistique Générale].

Dari aspek isi pula, segelintir sahaja teori atau rumus yang dibentangkan kelihatan taksa definisinya. Ada pula yang diulang beberapa kali setelah melangkau ke topik yang lain. Di samping terlalu banyak ayat-ayat tergantung dan tidak gramatis berkemungkinan hasil kesalahan pencetakan, pengolahan rumus-rumus tersebut dirasakan seperti tidak koheren.

Contohnya, penerangan perihal perujukan [m/s. 164] di mana berlakunya kekeliruan antara perujukan demonstratif dengan perujukan komparatif yang mempunyai keseluruhan kata-kata bagi perujukan demonstratif. Akan tetapi, bertambah keliru para pembaca setibanya di halaman 167 di mana terma perujukan sekali lagi didefinisikan, kali ini berdasarkan kanta mata Halliday (tidak dinyatakan).
Tambahan pula, contoh maksim kualiti [m/s. 169] lebih cenderung untuk mewakili maksim kerelevanan. Menyebut fasal maksim kerelevanan, contoh yang diberikan juga tidak meyakinkan. Hal ini demikian kerana jawapan B masih dalam lingkungan tema pemergian A ke Krabi dan buktinya, komunikasi masih beroperasi hasil kelancaran prinsip kerjasama. Manakala untuk penyataan "pencabulan maksim [...] dianggap sebagai gangguan dalam komunikasi." [m/s. 170] seharusnya diteruskan dengan informasi bahawa gangguan tersebut tidaklah mengakibatkan keranapan 100% dalam komunikasi.

Kesemua yang demikian menyebabkan amat sukar bagi seorang pembaca am untuk mengenali jurusan linguistik secara dasarnya.

No comments:

Post a Comment