Apa yang perlu dilakukan?
Menurut Dr Navidra, kaedah CPR baru ini amat mudah iaitu dengan menekan dada pesakit (di tengah-tengah dada antara payudara kiri dan kanan) sebanyak 100 kali dalam masa seminit. Ia bertujuan menghasilkan edaran tiruan dengan memberi tekanan pada jantung supaya ia boleh mengepam darah. Kaedah ini sangat penting untuk mengembalikan edaran darah yang masih mengandungi oksigen ke jantung dan otak.
Kaedah ini hanya membabitkan tiga langkah mudah iaitu D (bahaya), R (tindak balas) dan C (tekanan):
Letakkan tangan anda di tengah-tengah dada individu berkenaan (di antara payudara kiri dan kanan) dan mula menekan dengan kuat menggunakan tumit tapak tangan. Tekan kuat sedalam lima sentimeter (dua inci) sebanyak 100 kali dalam masa seminit. Untuk lebih mudah, kira satu hingga 10; sebanyak 10 kali.
Berhenti memberikan bantuan CPR apabila individu berkenaan mulai sedar.
Tanda pesakit mulai sedar ialah apabila dia tercungap untuk bernafas, membuka mata atau menggerakkan salah satu anggotanya. Jangan buang masa memeriksa sama ada nadi pesakit masih berdenyut atau tidak.
Jika selepas 100 kali dan individu berkenaan masih belum sedar, apa yang kita harus lakukan?
Terus memberi tekanan selagi terdaya sehingga bantuan atau ambulans sampai.
Adakah kemungkinan kita melakukan teknik CPR yang salah dan membahayakan pesakit?
Tidak perlu risau kerana mangsa masih mendapat sedikit manfaat daripada tidak diberi bantuan langsung. Jadi bagi yang tahu teknik CPR, tiada alasan untuk berasa bimbang ‘tersilap buat’ kerana yang lebih penting ialah menyelamatkan nyawa mangsa.
Apabila melakukan CPR, anda sebenarnya membekalkan darah beroksigen kepada jantung, otak dan organ badan penting hingga mangsa mendapat rawatan perubatan untuk mengembalikan denyutan jantung yang normal.
Jika CPR dilakukan dalam masa empat minit, mangsa ada peluang sekurang-kurangnya 45 peratus untuk hidup, tetapi jika CPR lewat diberi iaitu antara lapan hingga 10 minit, peluang untuk hidup hanya 10 peratus.
Dalam tempoh empat hingga enam minit tanpa oksigen, otak sudah mengalami kerosakan. Sel otak yang tidak menerima oksigen melebihi lima minit akan mengalami kerosakan kekal.
Ini bermakna sel otak akan mati dan tidak boleh diperbaiki. Lebih cepat mangsa diberi bantuan pernafasan, lebih tinggi peluangnya untuk hidup.
Bagaimanapun perlu diketahui, CPR saja tidak dapat menyelamatkan mangsa tetapi ia sangat penting untuk meneruskan bekalan darah yang mengandungi oksigen ke otak, paru-paru-paru dan organ lain sehingga bantuan kecemasan sampai.
Adakah kemungkinan tekanan yang terlalu kuat akan menyebabkan tulang dada mangsa patah?
Tulang dada atau sternum adalah tulang yang paling kuat dalam badan. Sangat jarang berlaku keretakan atau kepatahan tulang dada.
Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, cuma kira-kira 30 peratus pesakit yang mendapat serangan jantung patah tulang rusuk selepas mendapat bantuan CPR.
Kebanyakan kes itu pun membabitkan orang tua kerana rawan tulang mereka kurang anjal dan tulang juga lebih mudah patah. Ia masih lebih baik kerana mangsa dapat diselamatkan.
Adakah CPR dapat membantu jantung mengepam darah seperti biasa?
Tidak. Teknik CPR cuma dapat merangsang kira-kira 25 peratus fungsi jantung untuk mengepam darah. Ini dikira sudah cukup baik kerana jika CPR tidak dilakukan, otak tidak akan mendapat bekalan darah langsung.
Siapa perlu belajar CPR?
Semua orang - terutama individu yang kerap berurusan dengan orang ramai dan ada ahli keluarga menghidap masalah jantung, kencing manis, asma, strok, tekanan darah tinggi, sawan, barah atau penyakit kronik lain. Malah kanak-kanak berumur lapan tahun juga boleh lakukan CPR pada pesakit dewasa selagi mereka boleh menekan dada pesakit sedalam lima sentimeter.
“Kaedah ini sangat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Ia memang direka untuk orang awam supaya mereka dapat memberi bantuan kecemasan secepat mungkin sebelum ambulans sampai ke tempat kejadian. Ia jauh lebih mudah berbanding kaedah lama CPR yang memerlukan kita memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menekan dada pesakit sedalam lima sentimeter sebanyak 100 kali seminit,” katanya..
No comments:
Post a Comment